BAB 2 : PERTEMUAN KASIH
Bahagian 1:Teman Seperjuangan Dari Mesir
"Assalamualaikum!" sergah Asyraf Hadi.
"Astaghfirullah! Hey Hadi, terkejut ana!" Kata Hisyan separuh terkejut. Tangannya pantas mengurut dada. Astaghfirullah, jauh aku mengelamun rupanya. Bisik hati Hisyam. Dia yang tadinya berbaring di atas sofa pantas duduk. Asyraf Hadi melabuhkan punggungnya di sisi Hisyam.
"Tak jawab dosa, kalau jawab sayang... Hahaha..." Kata Asyraf Hadi. Tangannya pantas mengambil remote control TV di atas meja kopi lalu ditekan suis on.
"Waalaikumussalam. Amboi, sejak bila jadi pengikut setia Maria Elena ni?" Jawab spontan Hisyam segera mengalih tumpuan Asyraf Hadi supaya tidak mempersoalkan lamunannya tadi.
"Haha... Apa ke situ pulak? Dia dah nak kahwin dah. Tak nampak ke ana tengah frust menonggeng ni? Cuma tak tertonggeng je lagi ni." Seloroh Asyraf Hadi, sambil otaknya ligat mengingat kembali video yang baru ditontonya mengenai pertunangan Youtuber terkenal tersebut.
Mereka berdua menatap television itu dengan pandangan kosong. Yang tersiar hanyalah sinetron Indonesia yang panjangnya berjela-jela tetapi perjalanan cerita yang lambat. Kalau terlepas empat, lima episodpun tidak akan membawa kepada rasa ketinggalan apatah lagi rasa menyesal. Malah untung sebab mengurangkan sedikit bebanan otak penonton. Ingin diubah siaran tetapi rancangan apa pun tak terasa best kerana mata terasa berat lebih-lebih lagi diawal petang seperti sekarang. Tapi perut mereka terasa sedikit lapar.
"Hisyam, tadi ana tengok anta termenung je? Siap tersengeh-sengeh lagi. Hai, kalau ye pun baru balik ke tanah air, takkan dah terjumpa bidadari pujaan kalbu kut? Cepat betul?" Tanya Asyraf Hadi memecah kesunyian. Aduh, dia tanya juga, bisik hati Hisyam. Sangkanya sahabatnya itu akan melupakan hal tersebut.
"Kalaupun betul ana dah terjumpa bidadari pujaan kalbu, anta rasa ana ni dah bersedia ke nak jadi seorang ketua keluarga yang cemerlang dan berdedikasi?" Jawab spontan Hisyam. Soalan itu sengaja ditanya untuk meminta pendapat teman seperjuangannya di Mesir tersebut.
"Hahaha... rasanya anta ni memang dah terjumpa bidadari kan?" Duga Asyraf Hadi. Hisyam hanya tersenyum tersimpul malu, seolah mengiakan soalan itu.
"Hmm.. pendapat ana, anta ni memang dah bersedia sangat nak jadi suami orang. Jangan kata suami, bapak orang pun dah layak sangat dah! Hahaha..." Asyraf Hadi ketawa sederhana sambil tangannya menunjukkan simbol thubs up.
"Janganlah main-main. Ana serius ni." Berkerut wajah Hisyam. Orang tengah serius main-main pulak dia, bisik hatinya.
"Betullah akhi. Anta dah ada rumah besar, duit pun banyak. Tinggal petik je bunga di taman. Tunggu apa lagi? Cepat-cepatlah petik sebelum di cantas dek orang lain." Asyraf Hadi membuat muka seriusnya. Tapi dia tersenyum juga.
"Akhi, segala duit, rumah dan harta banyak-banyak ni bukan ana punya. Ni semua papa dan mama ana yang punya. Kerana ana ni anak tunggal, harta ni melimpah ke ana." Jelas Hisyam.
"Beruntung sungguh anta. Semoga anta memanfaatkan harta yang melimpah ruah ini ke arah kebaikan." Terkenang Asyraf Hadi kepada ibu di kampung halaman di Sabak Bernam. Ayah sudah lama meninggal sejak dia darjah 6. Sejak itu, ibunya membesarkan dia dan adik-adiknya dengan menjual nasi lemak dan kuih muih dengan begitu susah payah. Namun begitu ibunya melarang keras apabila Asyraf Hadi berniat untuk berhenti sekolah untuk membantu ibunya. Masih teringat kata-kata ibunya "Nak, biarlah kita miskin harta, tapi janganlah kita miskin ilmu. Belajar sahajalah jalan untuk kita keluar dari kemiskinan ini. Kemiskinan bukan untuk diwarisi nak. Harta boleh di cari bila-bila masa, tetapi peluang untuk belajar di sekolah datang hanya sekali seumur hidup. Sekali kita meninggalkannya, tidak mungkin kita akan peroleh peluang itu lagi."
"InsyaAllah... Tapi ana takut nak melamar dia. Rasanya masih trauma dengan kisah ana dulu. Anta pun tahukan, kisah ana melamar Maryam dulu. Ana rasa malu sangat dengan Maryam dan keluarganya. Ana rasa lebih malu dengan Rasyid dan keluarganya." Jelas Hisyam sekaligus telah mengusir kenangan Asyraf Hadi pergi. Air mata yang bertakung terus disapu dengan lengan bajunya. Mujur Hisyam tak perasan.
"Sudahlah Hisyam. Masa itu pun anta tak tahu Maryam telah menerima pinangan Rasyid. InsyaAllah mereka faham keadaan anta. Janganlah anta kenang lagi kisah itu. Kita doakan sajalah supaya mereka bahagia hingga ke akhir hayat. Dahlah tu. Jom kita bersiap." Jelas Asyraf Hadi. Suaranya sedikit garau kerana terlalu sebak memikirkan masa lalunya. Tangannya mencapai remote control dan menekan suis off. Lantas dia berdehem sambil bangun dari sofa dan berpaling dari Hisyam untuk mengesat lebihan takungan air matanya.
"Ke mana?" Hisyam menjadi pelik.
"Makan. Ana dah kebulur ni." Kata Asyraf Hadi sambil melangkah untuk naik ke bilik mereka di tingkat atas.
"Mak Biah tak masak ke?" Hisyam menjadi pelik dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"La... Lupa ke? Mak Biah kan pergi klinik dengan Pak Borhan. Pening-pening katanya." Langkah Asyraf Hadi terhenti dan berpaling kepada Hisyam semula.
"Biar betul!" Kata Hisyam separuh terjerit.
"Betullah. Kenapa?" Asyraf Hadi pula yang pelik dengan Hisyam.
"Takkan Mak Biah mengandung pula?" Sangka Hisyam sambil mengenangkan Mak Biah yang sudah lanjut usia itu. Suaminya, Pak Borhan merangkap pemandu keluarganya juga sudah lanjut usia.
"Hahaha... Dah tak ada benda lain nak fikir dah?" Terus Asyraf Hadi berpaling dan meneruskan perjalanannya ke bilik. Hisyam, Hisyam... Anta sememangnya sudah layak berkahwin. Entah-entah dah jatuh hukum wajib berkahwin kut? Bisik hatinya.