Sunday, February 5, 2012

Ainul Mardhiah - Bab 2 - Bahagian 2 - Mahar Cinta

[Episod Lalu]

BAB 2 : PERTEMUAN KASIH 


Bahagian 2 : Mahar Cinta

"Kita nak ke mana ni akhi?" Tanya Hisyam sebaik mereka berdua melabuhkan punggung dalam keretanya. 

"Eh eh? tanya ana pula. Kan Shah Alam ni rumah anta? Ana cuma menumpang rumah anta je. Ana manalah tahu restoran-restoran best kat sini." Jawab spontan Asyraf Hadi membuatkan Hisyam ligat berfikir restoran yang ingin dituju. Tiba-tiba dia teringat Restoran Ibunda milik Pak Su Aiman Firdaus. Boleh juga dia perkenalkan Encik Fuad kepada Asyraf Hadi. Untung-untung boleh bertemu dengan Ainul Mardhiah dan bertanya khabar. Tanpa sedar Hisyam mengukir senyuman.

"Eh senyum pula? Apa pula plan anta ni?"

"Eh tak ada apa-apalah. Jomlah kita bertolak sekarang." Hisyam cuba melarikan diri dari dugaan Asyraf Hadi. Hisyam memandu Perodua Viva berwarna hijau daun pisang itu laju menuju ke Seksyen 7. Asyraf Hadi pula cuba membuka radio dan mencari saluran IKIM.fm yang dia sendiri tidak pasti berapa frekuensinya. Lagu Mahar Cinta nyanyian Devotees sedang ke udara sambil membawa Asyraf Hadi menghayati lirik lagu tersebut.

Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara di hatiku melagukan rindu
Kiranya engkau mampu mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terucap

Hmm.. Sedap juga muzik ini. Mempunyai intro yang menarik.

Pasti dirimu kan memahami
Harapan kasih yang terbina
Sekian lama di sudut hatiku
Hanyalah untukmu

Hari ni semua orang akan merasa tak lengkap tanpa kekasih.

Bukanlah aku sengaja
Melindungi rasa di jiwa
Namun bimbang diri kan terleka
Hanyut dibuai angan dan mimpi indah
Hingga terabai segala cita
Sedang khayalan tak menjanjikan
Segunung kebahagiaan
Sebagai mahar hantaran


Fikiran Asyraf Hadi merewang sehingga teringat panggilan telefon dari ibunya sewaktu tahun keduanya di Mesir.

Apakah mungkin engkau mengerti
Setiap cinta yang dilafazkan
Bukanlah sekadar mainan
Tetapi sebuah janji

"Abang ada terasa mahu berkahwin ke sekarang?" Tanya ibunya di hujung talian dari sabak Bernam, Selangor.
"Kenapa ibu tanya begitu?" Naik hairan Asyraf Hadi dengan pertanyaan ibu itu.

Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara dihatiku melagukan rindu
Kiranya engkau bisa mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terungkap

"Ada orang tanya pasal Abang. Bila Abang nak habis belajar? Abang dah ada calon isteri ke belum?" Nada suara Puan Kamariah seperti tidak puas hati dengan pertanyaan-pertanyaan itu.
"Hahaha... Siapa tanya tu ibu?" Apa sahajalah orang-orang kampung ni.

Pasti dirimu dapat melihat
Rahsia kasih yang terpendam
Sekian lama disudut hatiku
Hanyalah untukmu
Selamanya....

Lagu Mahar Cinta sudah tidak kedengaran lagi. Suara penyampai radio mengambil alih dengan celotehnya.

"Ramai. Raya yang lepas, setiap kali tetamu beraya ke rumah mesti akan tanya benda yang sama. Naik rimas ibu nak jawab. Ha, Mak Cik Munah sebelah rumah ni pun tanya tak henti juga. Tau jelah mulut becok dia tu. Mungkin pasal tulah anaknya si Minah tu tak ada orang mahu." Panjang huraian ibunya. Asyraf Hadi tersentap apabila nama Minah disebut ibunya. Gadis cun melecun itu masih tak dimiliki? Biar betul? Gadis itu dahulu pernah ku ingini.

"Hahaha... Kalau ada orang tanya lagi, ibu bagitahulah Abang dah ada calon isteri ya." Jelas Asyraf Hadi dengan nada tenang. Wajah Minah diusir pergi.

"Abang dah ada calon isteri? Siapa? Kenapa tak bagitahu ibu pun? Orang Malaysia ke orang Mesir?"

"Mestilah dah ada calon isteri. Semua orang dah ada jodoh yang ditetapkan. Cuma Abang belum lagi jumpa siapa calonnya tu, ibu. Hehehe...Kalau bukan orang Malaysia pun apa salahnya, ibu? Asalkan dia orang Islam."

"Oh... Pandai Abang buat lawak ye. Saje nak kenekan ibu ye?"

"Ni bukan lawak ibu. Memang itu yang sebenarnya. Hehehe..."

"Abang, anak ibu..." Suara ibunya tiba-tiba berubah sedih.

"Kenapa ibu?"

"Ibu benarkan kalau Abang mahu berkahwin di sana. Ibu redha dengan keputusan anak ibu."

"Terima kasih ibu. Mungkin Abang akan habiskan belajar dulu ibu. Abang ingin bekerjaya. Ibu jangan risau ya."
Lamunan Asyraf Hadi terhenti sebaik sahaja kereta berhenti di depan sebuah restoran yang tertera 'Restoran Ibunda'.

"Ana rasa berdebarlah." Tiba-tiba Asyraf Hadi memecah kesunyian.

"Lah? Kenapa tiba-tiba berdebar pula ni?" Tangan Hisyam yang sedang membuka seat belt terhenti.

"Entah. Mungkin sebab esok ada interview tu agaknya." Asyraf Hadi mengurut dadanya.

"Tadi okay je?"

"Tak tahulah. Ana tiba-tiba je berdebar ni."

"Ish... dahlah tu jangan difikirkan sangat. Kita pun dah sampai ni. Jomlah." Ajak Hisyam. Pelik sungguh sahabatnya yang seorang ni. Mereka pantas keluar dari kereta dan menuju ke Restoran Ibunda. Mereka mengambil tempat di ruangan tengah restoran.

Debaran Asyraf Hadi semakin kuat. Dia sendiri tak tahu sebabnya. Tak pernah dia alami perkara ini.

"Boleh saya ambil order?" Tiba-tiba seorang pelayan datang ke meja mereka. Seorang wanita bernama Ainul Mardhiah.

Astaghfirullah! Kenapa debaran hamba semakin kuat Ya Allah?

Bersambung...

Friday, January 13, 2012

Ainul Mardhiah - Bab 2 - Bahagian 1 - Teman seperjuangan dari Mesir


BAB 2 : PERTEMUAN KASIH 

Bahagian 1:Teman Seperjuangan Dari Mesir


"Assalamualaikum!" sergah Asyraf Hadi.

"Astaghfirullah! Hey Hadi, terkejut ana!" Kata Hisyan separuh terkejut. Tangannya pantas mengurut dada. Astaghfirullah, jauh aku mengelamun rupanya. Bisik hati Hisyam. Dia yang tadinya berbaring di atas sofa pantas duduk. Asyraf Hadi melabuhkan punggungnya di sisi Hisyam.

"Tak jawab dosa, kalau jawab sayang... Hahaha..." Kata Asyraf Hadi. Tangannya pantas mengambil remote control TV di atas meja kopi lalu ditekan suis on.

"Waalaikumussalam. Amboi, sejak bila jadi pengikut setia Maria Elena ni?" Jawab spontan Hisyam segera mengalih tumpuan Asyraf Hadi supaya tidak mempersoalkan lamunannya tadi.

"Haha... Apa ke situ pulak? Dia dah nak kahwin dah. Tak nampak ke ana tengah frust menonggeng ni? Cuma tak tertonggeng je lagi ni." Seloroh Asyraf Hadi, sambil otaknya ligat mengingat kembali video yang baru ditontonya mengenai pertunangan Youtuber terkenal tersebut.

Mereka berdua menatap television itu dengan pandangan kosong. Yang tersiar hanyalah sinetron Indonesia yang panjangnya berjela-jela tetapi perjalanan cerita yang lambat. Kalau terlepas empat, lima episodpun tidak akan membawa kepada rasa ketinggalan apatah lagi rasa menyesal. Malah untung sebab mengurangkan sedikit bebanan otak penonton. Ingin diubah siaran tetapi rancangan apa pun tak terasa best kerana mata terasa berat lebih-lebih lagi diawal petang seperti sekarang. Tapi perut mereka terasa sedikit lapar.

"Hisyam, tadi ana tengok anta termenung je? Siap tersengeh-sengeh lagi. Hai, kalau ye pun baru balik ke tanah air, takkan dah terjumpa bidadari pujaan kalbu kut? Cepat betul?" Tanya Asyraf Hadi memecah kesunyian. Aduh, dia tanya juga, bisik hati Hisyam. Sangkanya sahabatnya itu akan melupakan hal tersebut.

"Kalaupun betul ana dah terjumpa bidadari pujaan kalbu, anta rasa ana ni dah bersedia ke nak jadi seorang ketua keluarga yang cemerlang dan berdedikasi?" Jawab spontan Hisyam. Soalan itu sengaja ditanya untuk meminta pendapat teman seperjuangannya di Mesir tersebut.

"Hahaha... rasanya anta ni memang dah terjumpa bidadari kan?" Duga Asyraf Hadi. Hisyam hanya tersenyum tersimpul malu, seolah mengiakan soalan itu.

"Hmm.. pendapat ana, anta ni memang dah bersedia sangat nak jadi suami orang. Jangan kata suami, bapak orang pun dah layak sangat dah! Hahaha..." Asyraf Hadi ketawa sederhana sambil tangannya menunjukkan simbol thubs up.

"Janganlah main-main. Ana serius ni." Berkerut wajah Hisyam. Orang tengah serius main-main pulak dia, bisik hatinya.

"Betullah akhi. Anta dah ada rumah besar, duit pun banyak. Tinggal petik je bunga di taman. Tunggu apa lagi? Cepat-cepatlah petik sebelum di cantas dek orang lain." Asyraf Hadi membuat muka seriusnya. Tapi dia tersenyum juga.

"Akhi, segala duit, rumah dan harta banyak-banyak ni bukan ana punya.  Ni semua papa dan mama ana yang punya. Kerana ana ni anak tunggal, harta ni melimpah ke ana." Jelas Hisyam.

"Beruntung sungguh anta. Semoga anta memanfaatkan harta yang melimpah ruah ini ke arah kebaikan." Terkenang Asyraf Hadi kepada ibu di kampung halaman di Sabak Bernam. Ayah sudah lama meninggal sejak dia darjah 6. Sejak itu, ibunya membesarkan dia dan adik-adiknya dengan menjual nasi lemak dan kuih muih dengan begitu susah payah. Namun begitu ibunya melarang keras apabila Asyraf Hadi berniat untuk berhenti sekolah untuk membantu ibunya. Masih teringat kata-kata ibunya "Nak, biarlah kita miskin harta, tapi janganlah kita miskin ilmu. Belajar sahajalah jalan untuk kita keluar dari kemiskinan ini. Kemiskinan bukan untuk diwarisi nak. Harta boleh di cari bila-bila masa, tetapi peluang untuk belajar di sekolah datang hanya sekali seumur hidup. Sekali kita meninggalkannya, tidak mungkin kita akan peroleh peluang itu lagi."

"InsyaAllah... Tapi ana takut nak melamar dia. Rasanya masih trauma dengan kisah ana dulu. Anta pun tahukan, kisah ana melamar Maryam dulu. Ana rasa malu sangat dengan Maryam dan keluarganya. Ana rasa lebih malu dengan Rasyid dan keluarganya." Jelas Hisyam sekaligus telah mengusir kenangan Asyraf Hadi pergi. Air mata yang bertakung terus disapu dengan lengan bajunya. Mujur Hisyam tak perasan.

"Sudahlah Hisyam. Masa itu pun anta tak tahu Maryam telah menerima pinangan Rasyid. InsyaAllah mereka faham keadaan anta. Janganlah anta kenang lagi kisah itu. Kita doakan sajalah supaya mereka bahagia hingga ke akhir hayat. Dahlah tu. Jom kita bersiap." Jelas Asyraf Hadi. Suaranya sedikit garau kerana terlalu sebak memikirkan masa lalunya. Tangannya mencapai remote control dan menekan suis off. Lantas dia berdehem sambil bangun dari sofa dan berpaling dari Hisyam untuk mengesat lebihan takungan air matanya.

"Ke mana?" Hisyam menjadi pelik.

"Makan. Ana dah kebulur ni." Kata Asyraf Hadi sambil melangkah untuk naik ke bilik mereka di tingkat atas.

"Mak Biah tak masak ke?" Hisyam menjadi pelik dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"La... Lupa ke? Mak Biah kan pergi klinik dengan Pak Borhan. Pening-pening katanya." Langkah Asyraf Hadi terhenti dan berpaling kepada Hisyam semula.

"Biar betul!" Kata Hisyam separuh terjerit.

"Betullah. Kenapa?" Asyraf Hadi pula yang pelik dengan Hisyam.

"Takkan Mak Biah mengandung pula?" Sangka Hisyam sambil mengenangkan Mak Biah yang sudah lanjut usia itu. Suaminya, Pak Borhan merangkap pemandu keluarganya juga sudah lanjut usia.

"Hahaha... Dah tak ada benda lain nak fikir dah?" Terus Asyraf Hadi berpaling dan meneruskan perjalanannya ke bilik. Hisyam, Hisyam... Anta sememangnya sudah layak berkahwin. Entah-entah dah jatuh hukum wajib berkahwin kut? Bisik hatinya.


Saturday, April 16, 2011

Ainul Mardhiah - Bab 1 - Bahagian 5

[Episod lalu]


So… kita nak ke mana?” Suara Aiman Firdaus memecah kesunyian. Aiman Firdaus sedar akan suasana kekok di dalam keretanya. Sengaja dia tak mahu membuka radio. Dia fikir mulut adiknya yang becok seperti murai itu tentu akan bersuara dahulu. Sekurang-kurangnya Ainul Mardhiah patut bertanya siapakah gerangan lelaki di sebelah abangnya. Tetapi hampa. Adiknya sedang asyik menulis sesuatu di sebuah buku.

“Gerai Pak Su?” Ainul Mardhiah memberi cadangan.

All right, Baby.” Kata Aiman Firdaus membuatkan mata Ainul Mardhiah  beralih dari buku catatannya kearah Aiman Firdaus. Hisyam pula menahan gelak. Mujur Ainul Mardhiah  tak nampak. Aiman Firdaus melihat kelibat Ainul Mardhiah dari cermin pandang belakang. Rupa-rupanya Ainul Mardhiah sedang memandangnya dari tempat yang sama sambil menjelir lidah. Geram di hati Ainul Mardhiah kerana abangnya memanggilnya Baby di hadapan orang yang tidak dikenali. Abang ni memang tak beragaklah! Bisik hati Ainul Mardhiah. Tapi Aiman Firdaus hanya tersenyum.  Seakan terdengar bisikan Ainul Mardhiah walaupun di dalam hati.

Setibanya di Restoran Ibunda, Aiman Firdaus menuju ke meja paling tepi sekali. Kerana memikirkan adiknya takkan mahu duduk di ruangan tengah. Teringat suatu ketika dulu Ainul Mardhiah pernah menolak untuk duduk di ruangan tengah. Katanya dia malu kalau-kalau terjatuh kerusi, pasti semua orang akan melihat. Waktu itu Aiman Firdaus ketawa terbahak-bahak kerana menurutnya  tak masuk dek akal langsung alasan adiknya itu. Takkanlah adiknya akan jatuh kerusi jika dia duduk elok-elok?  Bukannya dia tak tahu adiknya itu sangat menjaga dirinya agar tidak menjadi perhatian orang. Sejak itu, dia tak pernah makan di ruangan tengah gerai apabila membawa adiknya bersama. Walaupun terkadang dia teringin untuk duduk di ruangan tengah kerana ingin duduk di bawah kipas. Biasanya kipas memang berada di ruangan tengah gerai sahaja.

Sebaik sahaja Aiman Firdaus melabuhkan punggung, Hisyam mengambil tempat di sebelah Aiman Firdaus. Tapi berbeza dengan Ainul Mardhiah. Dia terus ke dapur gerai dan hilang dari pandangan Aiman Firdaus mahupun Hisyam.

“Pergi tandas kot.” Terus Aiman Firdaus beritahu Hisyam tanpa ditanya.

“Ohhh…” sahut Hisyam. Dia tersenyum dengan gelagat Aiman Firdaus.

Ainul Mardhiah terus mendapatkan Pak Sunya di meja bahagian dapur untuk bersalam. Lalu dia ke hadapan semula. Tak lama kemudian dia kembali ke meja dapur dengan membawa sepinggan nasi putih dan beberapa jenis lauk lalu duduk di kerusi sebelah Pak Sunya. Lalu dia mengeluarkan telefon bimbit dengan niat ingin menghantar SMS kepada abangnya memberitahu bahawa dia ingin makan di bahagian dapur gerai. Encik Fuad memandangnya pelik. Mesti ada yang tak kena dengan anak saudaranya yang seorang ni.

“Diah datang dengan siapa?” Soal Encik Fuad.

“Dengan Abang Aiman.” Jawabnya sambil membasuh tangan dengan air paip yang diisi dalam teko plastik  yang disediakan di atas meja.

“Abang Aiman kamu mana?” Soal Encik Fuad lagi. Kali ini matanya melilau ke bahagian depan gerai. Lalu matanya menangkap susuk tubuh Aiman Firdaus bersama seseorang sedang memesan makanan kepada salah seorang pekerjanya.

“Dia makan dengan kawan dia. Taknaklah ganggu. Mesti dia nak berborak panjang.” Jawab Ainul Mardhiah dan terus membaca doa makan.

Encik Fuad pula terus bangun dan menuju ke Aiman Firdaus. Ainul Mardhiah membiarkan sahaja. Tak lama kemudian dia terdengar Encik Fuad tergelak besar bersama Aiman Firdaus dan kawannya. Entah apa yang digelakkan pun dia tak tahu. Ainul Mardhiah meneruskan mengisi perutnya yang lapar dari tadi.

Petang itu Ainul Mardhiah pulang ke rumah menumpang dengan sepupunya, Aminah kerana kebetulan Aminah ingin ke rumah Ainul Mardhiah kerana ingin meminjam CD drama Korea milik Ainul Mardhiah sementara Aiman Firdaus menghantar rakannya pulang.

Wednesday, April 13, 2011

Ainul Mardhiah - Bab 1 - Bahagian 4


“Oh… Hahaha… Ainul Mardhiah? Baby? Adik anta kan? Astaghfirullah. Ana terlupa. Maafkan ana kerana bersangka negatif.” Hisyam menepuk dahinya. Giginya sebaris terserlah. Baru dia teringat rakan sepermainannya itu dipanggil Baby oleh abangnya. Malah Baby itu menjadi panggilan rakan-rakan akrab mereka. Sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang tidak mengetahui nama Baby itu adalah Ainul Mardhiah Binti Haji Awaluddin.

“Tak apalah Hisyam. Ana faham anta baru balik dari Mesir. Banyak perkara anta perlu ingat. Adik beradik ana takkanlah anta perlu ingat. Kami ni siapalah sangat.” Riak Aiman diubah sedih. Merajuklah kononnya.

“Eh, janganlah merajuk Aiman. Ana minta maaf. Ana betul-betul lupa. Hilang ketampanan anta kalau merajuk macam ni. Hahaha…” Tangannya merangkul tubuh Aiman Firdaus. Dia bukan tak tahu Aiman bergurau.
“Jadi, baby anta itu sudah dipanggil Diah sekarang? Dia tentunya sudah menjadi anak dara yang bukan lagi mahu dipanggil baby kan?” Tanya Hisyam sambil tersenyum lebar. Aiman Firdaus hanya mengangguk sekali. Mereka berdua ketawa hingga ke kereta.

Serentak Aiman Firdaus dan Hisyam sampai ke kereta, Ainul Mardhiah turut sampai. Sememangnya Ainul Mardhiah telah nampak kelibat seseorang yang tidak dikenali.  Tapi Ainul Mardhiah berlagak tidak ingin bertanya. Kerana dia tahu, bertanya itu ini akan mengambil masa abangnya dari terus memandu ke destinasi. Perutnya juga  seperti menghasut supaya  tidak melengah-lengahkan masa untuk diisi.

Aiman Firdaus faham riak muka adik kesayangannya. Dia juga mengambil keputusan untuk terus masuk ke dalam kereta. Sebaik unlock kereta, Ainul Mardhiah meluru ke tempat duduk belakang. Dia ingin melepaskan beg sandangnya yang baginya sangat berat. Hisyam terpinga-pinga kerana Aiman Firdaus seperti tak mahu memperkenalkannya kepada Ainul Mardhiah.  Dia terus mengambil tempat di sebelah pemandu sebaik sahaja Aiman Firdaus memasuki tempat di bahagian pemandu. Aiman Firdaus terus memandu keretanya keluar dari tempat parking kereta itu.

Bagi Hisyam pula, lain ceritanya. Dia seperti mengalami serangan jantung. Entah kenapa nafasnya semakin laju. Jantungnya seperti mengeluarkan bunyi ‘dup dap dup dap!’. Inikah Baby?  Sungguh dia telah berubah. Dahulu Baby adalah seorang kanak-kanak yang sangat kelelakian. Boyish. Tapi kenapa sekarang dia telah berubah? Ah! Sudah tentu berubah. Kali terakhir Hisyam bertemu mereka sekeluarga ketika dia berusia awal 16 tahun, sebelum dia memasuki Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam. Dan ketika itu Ainul Mardhiah baru berusia 11 tahun. Benar sangkaan Hisyam tadi. Ainul Mardhiah bukan lagi Baby. Tapi dia adalah anak dara yang wajar dipanggil Diah.

Thursday, March 24, 2011

Ainul Mardhiah - Bab 1 - Bahagian 3


Stop calling me that name. Abang, I’m already twenty. I’m not a baby anymore!” Bebel Ainul Mardhiah. Dia memulakan langkahnya seakan tahu lokasi abangnya. Berat hati untuk menapak mengenangkan begnya berat. Dalam hatinya tertanya-tanya siapakah kawan Aiman yang akan ada bersama. Aduh, nampaknya kenalah cover mulut nanti. Tak boleh nak becok sangat dengan Abang Aiman.
“Okay, okay. Set. Abang tunggu Diah kat sini tau. Cepat sikit. Nanti lambat pulak nak makan. Kata lapar sangat. Abang letak kereta kat tempat biasa abang letak tu.” Aiman Firdaus tersengih. Hisyam menjadi semakin pelik. Tak mungkin Aiman dah ada girlfriend kot?  Tak bagitau pun? Sampai hati Aiman tak cerita pun. Mentang-mentanglah selama ini Hisyam berada di Mesir. Kan selalu contact, kenapa tak bagitahu pun? Astaghfirullah. Hisyam beristigfar. Tak elok dia bersangka buruk pada sahabat sendiri. Hatinya menasihati dirinya sendiri. Hisyam terus berbuat muka selamba. Tapi perasaan ingin tahu membuatkan mukanya tak mampu menipu.
“Yelah… Diah tengah jalan la ni. Abang tunggu tau. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.” Aiman Firdaus menamatkan panggilan. Dia tersenyum mengenang keletah adiknya. Perhatiannya beralih pada Hisyam pula. Hisyam kelihatan seperti terpinga-pinga.
“Siapa tu? Bakal isteri ke? Tak pernah bagitau pun?” Hisyam cuba serkap jarang. Mata Aiman Firdaus terbeliak. Siapa? Aiman Firdaus cuba mencari siapa yang dimaksudkan. Yang telefon tadi? Terus Aiman Firdaus tergelak-gelak.
“Eh gelak pulak! Ana luku kepala anta baru tahu ya. Sudah berbakal tak beritahu ana pun.”
“Ehhh… janganlah. Baiklah biar ana jelaskan.” Kata-katanya terhenti. Langkah Aiman Firdaus ke kereta turut terhenti di situ. Langkah Hisyam juga terhenti. Aiman mengambil nafas yang panjang. Mukanya diubah serius.
“Sebenarnya dia adalah buah hati pengarang jantung ana. Dialah yang sentiasa menyinari hidup ana. Setiap hari ana takkan ceria tanpa dia di sisi ana. Ana teramat menyayanginya ya akhi.” Sengaja Aiman Firdaus mengusik sahabatnya itu.
“Kalau begitu, cepat-cepatlah memilikinya akhi. Siapa dia? Ana kenal tak?”  Respon Hisyam. Aiman Firdaus tergelak. Tapi gelak dalam hati. Dia tetap mahu teruskan situasi itu.
“Sudah lama dia menjadi milik ana. Anta mengenalinya. Dia adalah Diah. Ainul Mardhiah Binti Haji Awaluddin. She is my Baby.” Noktah. Terus Aiman Firdaus berpaling dan meneruskan langkahnya semula. Hisyam terdiam berfikir. Tapi langkahnya menuruti Aiman. Ainul Mardhiah Binti Haji Awaluddin? Macam pernah dengar. Haji Awaluddin? Eh, tu kan nama ayah Aiman? 

Friday, January 28, 2011

Ainul Mardhiah - Bab 1 - Bahagian 2


“Assalamualaikum.” Terdengar suara dari hujung talian. Ainul Mardhiah tersenyum mendengar perkataan pertama yang terpacul dari mulut Aiman Firdaus. Abang tunggal kesayangan Ainul Mardhiah  itu sememangnya tidak menggunakan perkataan hello atau sebagainya seperti kebanyakan orang. Tabiat ini amat disenangi Ainul Mardhiah dan teman-teman Aiman Firdaus sendiri.

“Waalaikumsalam. Abang, abang kat mana? Jom makan, laparlah.” Tanpa berbahasa basi Ainul Mardhiah menyampaikan hajatnya. Bagi Ainul Mardhiah, perutnya lebih penting untuk diisi berbanding menghabiskan air liur untuk bertanya khabar abangnya itu.

“Abang kat Komplek PKNS tadi. Sekarang on the way ke kereta. Diah kat mana?” Aiman Firdaus meneruskan perjalanan ke kereta bersama seorang rakannya. Sebenarnya dia baru mahu memulakan perjalanan ke kereta.

“Serious? Kebetulan Diah kat Taman Tasik Shah Alam. Abang ambillah Diah. Malaslah nak menapak.”




“Amboi, banyak cantik muka Diah. Tahu tak sekarang ni jalan tengah jammed teruk? Lagi baik kalau Diah menapak je ke sini. Lalu shortcut kan  boleh? Diah datang sini okey? Abang dengan kawan abang ni. Kami baru planned nak makan sama-sama. Is it okay Baby?” Laju mulut Aiman Firdaus mengarah adiknya. Matanya sesekali menjeling Hisyam di sebelah. Hisyam mulanya membuat muka selamba. Tetapi agak tersentak apabila terdengar perkataan terakhir Aiman Firdaus. Setahu Hisyam, Aiman bukan jenis yang melayan perempuan. Malah Aiman Firdaus boleh dikatakan seperti ustaz yang sangat menjaga batas terhadap perempuan. Buntu Hisyam dibuatnya.


Sunday, January 23, 2011

Ainul Mardhiah - Bab 1 - Bahagian 1

BAB 1 - UKHWAH

Petang itu langit cerah. Kelihatan ramai kanak-kanak bermain dengan lincah. Bermain gelongsor, buaian, jongkang-jongket malah ada juga yang berkejar-kejaran sesama mereka. Kesemua mereka kelihatan ceria.
Di suatu sudut, kelihatan seorang gadis bertudung merah jambu lembut dan labuh berada di sebuah meja rehat di tepi taman permainan itu. Jari jemarinya lincah menari di atas sekepil kertas. Sesekali dia membetulkan kedudukan kaca matanya. Setelah sekian lama, Ainul Mardhiah melepaskan pen lalu mengibas tangannya. Lenguh jari dibuatnya. Tiba-tiba tekaknya berasa haus. Terasa hampa bila teringat dia lupa untuk membawa air minuman.
Ainul Mardhiah merenung seketika hasil kerjanya. Borang permohonan aktiviti kelab untuk semester depan harus dihantar esok. Namun banyak lagi yang belum disiapkan.  Argh! Dahlah haus, lapar pula. Sejak pagi tadi dia belum menjamah apa-apa makanan lagi. Hanya sempat minum di cafe kampus. Pergi makan dululah. Jarum jam di pergelangan tangan Ainul Mardhiah menunjukkan jam 5.30 petang. Terus Ainul Mardhiah mengemas kertas-kertas yang berselerakan di atas meja. Usai mengemas, telefon bimbit dikeluarkan dari poket tas tangannya. Dengan pantas, Ainul Mardhiah dapat mencari nama ‘Abang Aiman’ dan terus menekan butang memanggil.