“So… kita nak ke mana?” Suara Aiman Firdaus memecah kesunyian. Aiman Firdaus sedar akan suasana kekok di dalam keretanya. Sengaja dia tak mahu membuka radio. Dia fikir mulut adiknya yang becok seperti murai itu tentu akan bersuara dahulu. Sekurang-kurangnya Ainul Mardhiah patut bertanya siapakah gerangan lelaki di sebelah abangnya. Tetapi hampa. Adiknya sedang asyik menulis sesuatu di sebuah buku.
“Gerai Pak Su?” Ainul Mardhiah memberi cadangan.
“All right, Baby.” Kata Aiman Firdaus membuatkan mata Ainul Mardhiah beralih dari buku catatannya kearah Aiman Firdaus. Hisyam pula menahan gelak. Mujur Ainul Mardhiah tak nampak. Aiman Firdaus melihat kelibat Ainul Mardhiah dari cermin pandang belakang. Rupa-rupanya Ainul Mardhiah sedang memandangnya dari tempat yang sama sambil menjelir lidah. Geram di hati Ainul Mardhiah kerana abangnya memanggilnya Baby di hadapan orang yang tidak dikenali. Abang ni memang tak beragaklah! Bisik hati Ainul Mardhiah. Tapi Aiman Firdaus hanya tersenyum. Seakan terdengar bisikan Ainul Mardhiah walaupun di dalam hati.
Setibanya di Restoran Ibunda, Aiman Firdaus menuju ke meja paling tepi sekali. Kerana memikirkan adiknya takkan mahu duduk di ruangan tengah. Teringat suatu ketika dulu Ainul Mardhiah pernah menolak untuk duduk di ruangan tengah. Katanya dia malu kalau-kalau terjatuh kerusi, pasti semua orang akan melihat. Waktu itu Aiman Firdaus ketawa terbahak-bahak kerana menurutnya tak masuk dek akal langsung alasan adiknya itu. Takkanlah adiknya akan jatuh kerusi jika dia duduk elok-elok? Bukannya dia tak tahu adiknya itu sangat menjaga dirinya agar tidak menjadi perhatian orang. Sejak itu, dia tak pernah makan di ruangan tengah gerai apabila membawa adiknya bersama. Walaupun terkadang dia teringin untuk duduk di ruangan tengah kerana ingin duduk di bawah kipas. Biasanya kipas memang berada di ruangan tengah gerai sahaja.
Sebaik sahaja Aiman Firdaus melabuhkan punggung, Hisyam mengambil tempat di sebelah Aiman Firdaus. Tapi berbeza dengan Ainul Mardhiah. Dia terus ke dapur gerai dan hilang dari pandangan Aiman Firdaus mahupun Hisyam.
“Pergi tandas kot.” Terus Aiman Firdaus beritahu Hisyam tanpa ditanya.
“Ohhh…” sahut Hisyam. Dia tersenyum dengan gelagat Aiman Firdaus.
Ainul Mardhiah terus mendapatkan Pak Sunya di meja bahagian dapur untuk bersalam. Lalu dia ke hadapan semula. Tak lama kemudian dia kembali ke meja dapur dengan membawa sepinggan nasi putih dan beberapa jenis lauk lalu duduk di kerusi sebelah Pak Sunya. Lalu dia mengeluarkan telefon bimbit dengan niat ingin menghantar SMS kepada abangnya memberitahu bahawa dia ingin makan di bahagian dapur gerai. Encik Fuad memandangnya pelik. Mesti ada yang tak kena dengan anak saudaranya yang seorang ni.
“Diah datang dengan siapa?” Soal Encik Fuad.
“Dengan Abang Aiman.” Jawabnya sambil membasuh tangan dengan air paip yang diisi dalam teko plastik yang disediakan di atas meja.
“Abang Aiman kamu mana?” Soal Encik Fuad lagi. Kali ini matanya melilau ke bahagian depan gerai. Lalu matanya menangkap susuk tubuh Aiman Firdaus bersama seseorang sedang memesan makanan kepada salah seorang pekerjanya.
“Dia makan dengan kawan dia. Taknaklah ganggu. Mesti dia nak berborak panjang.” Jawab Ainul Mardhiah dan terus membaca doa makan.
Encik Fuad pula terus bangun dan menuju ke Aiman Firdaus. Ainul Mardhiah membiarkan sahaja. Tak lama kemudian dia terdengar Encik Fuad tergelak besar bersama Aiman Firdaus dan kawannya. Entah apa yang digelakkan pun dia tak tahu. Ainul Mardhiah meneruskan mengisi perutnya yang lapar dari tadi.
Petang itu Ainul Mardhiah pulang ke rumah menumpang dengan sepupunya, Aminah kerana kebetulan Aminah ingin ke rumah Ainul Mardhiah kerana ingin meminjam CD drama Korea milik Ainul Mardhiah sementara Aiman Firdaus menghantar rakannya pulang.
No comments:
Post a Comment