Sunday, February 5, 2012

Ainul Mardhiah - Bab 2 - Bahagian 2 - Mahar Cinta

[Episod Lalu]

BAB 2 : PERTEMUAN KASIH 


Bahagian 2 : Mahar Cinta

"Kita nak ke mana ni akhi?" Tanya Hisyam sebaik mereka berdua melabuhkan punggung dalam keretanya. 

"Eh eh? tanya ana pula. Kan Shah Alam ni rumah anta? Ana cuma menumpang rumah anta je. Ana manalah tahu restoran-restoran best kat sini." Jawab spontan Asyraf Hadi membuatkan Hisyam ligat berfikir restoran yang ingin dituju. Tiba-tiba dia teringat Restoran Ibunda milik Pak Su Aiman Firdaus. Boleh juga dia perkenalkan Encik Fuad kepada Asyraf Hadi. Untung-untung boleh bertemu dengan Ainul Mardhiah dan bertanya khabar. Tanpa sedar Hisyam mengukir senyuman.

"Eh senyum pula? Apa pula plan anta ni?"

"Eh tak ada apa-apalah. Jomlah kita bertolak sekarang." Hisyam cuba melarikan diri dari dugaan Asyraf Hadi. Hisyam memandu Perodua Viva berwarna hijau daun pisang itu laju menuju ke Seksyen 7. Asyraf Hadi pula cuba membuka radio dan mencari saluran IKIM.fm yang dia sendiri tidak pasti berapa frekuensinya. Lagu Mahar Cinta nyanyian Devotees sedang ke udara sambil membawa Asyraf Hadi menghayati lirik lagu tersebut.

Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara di hatiku melagukan rindu
Kiranya engkau mampu mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terucap

Hmm.. Sedap juga muzik ini. Mempunyai intro yang menarik.

Pasti dirimu kan memahami
Harapan kasih yang terbina
Sekian lama di sudut hatiku
Hanyalah untukmu

Hari ni semua orang akan merasa tak lengkap tanpa kekasih.

Bukanlah aku sengaja
Melindungi rasa di jiwa
Namun bimbang diri kan terleka
Hanyut dibuai angan dan mimpi indah
Hingga terabai segala cita
Sedang khayalan tak menjanjikan
Segunung kebahagiaan
Sebagai mahar hantaran


Fikiran Asyraf Hadi merewang sehingga teringat panggilan telefon dari ibunya sewaktu tahun keduanya di Mesir.

Apakah mungkin engkau mengerti
Setiap cinta yang dilafazkan
Bukanlah sekadar mainan
Tetapi sebuah janji

"Abang ada terasa mahu berkahwin ke sekarang?" Tanya ibunya di hujung talian dari sabak Bernam, Selangor.
"Kenapa ibu tanya begitu?" Naik hairan Asyraf Hadi dengan pertanyaan ibu itu.

Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara dihatiku melagukan rindu
Kiranya engkau bisa mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terungkap

"Ada orang tanya pasal Abang. Bila Abang nak habis belajar? Abang dah ada calon isteri ke belum?" Nada suara Puan Kamariah seperti tidak puas hati dengan pertanyaan-pertanyaan itu.
"Hahaha... Siapa tanya tu ibu?" Apa sahajalah orang-orang kampung ni.

Pasti dirimu dapat melihat
Rahsia kasih yang terpendam
Sekian lama disudut hatiku
Hanyalah untukmu
Selamanya....

Lagu Mahar Cinta sudah tidak kedengaran lagi. Suara penyampai radio mengambil alih dengan celotehnya.

"Ramai. Raya yang lepas, setiap kali tetamu beraya ke rumah mesti akan tanya benda yang sama. Naik rimas ibu nak jawab. Ha, Mak Cik Munah sebelah rumah ni pun tanya tak henti juga. Tau jelah mulut becok dia tu. Mungkin pasal tulah anaknya si Minah tu tak ada orang mahu." Panjang huraian ibunya. Asyraf Hadi tersentap apabila nama Minah disebut ibunya. Gadis cun melecun itu masih tak dimiliki? Biar betul? Gadis itu dahulu pernah ku ingini.

"Hahaha... Kalau ada orang tanya lagi, ibu bagitahulah Abang dah ada calon isteri ya." Jelas Asyraf Hadi dengan nada tenang. Wajah Minah diusir pergi.

"Abang dah ada calon isteri? Siapa? Kenapa tak bagitahu ibu pun? Orang Malaysia ke orang Mesir?"

"Mestilah dah ada calon isteri. Semua orang dah ada jodoh yang ditetapkan. Cuma Abang belum lagi jumpa siapa calonnya tu, ibu. Hehehe...Kalau bukan orang Malaysia pun apa salahnya, ibu? Asalkan dia orang Islam."

"Oh... Pandai Abang buat lawak ye. Saje nak kenekan ibu ye?"

"Ni bukan lawak ibu. Memang itu yang sebenarnya. Hehehe..."

"Abang, anak ibu..." Suara ibunya tiba-tiba berubah sedih.

"Kenapa ibu?"

"Ibu benarkan kalau Abang mahu berkahwin di sana. Ibu redha dengan keputusan anak ibu."

"Terima kasih ibu. Mungkin Abang akan habiskan belajar dulu ibu. Abang ingin bekerjaya. Ibu jangan risau ya."
Lamunan Asyraf Hadi terhenti sebaik sahaja kereta berhenti di depan sebuah restoran yang tertera 'Restoran Ibunda'.

"Ana rasa berdebarlah." Tiba-tiba Asyraf Hadi memecah kesunyian.

"Lah? Kenapa tiba-tiba berdebar pula ni?" Tangan Hisyam yang sedang membuka seat belt terhenti.

"Entah. Mungkin sebab esok ada interview tu agaknya." Asyraf Hadi mengurut dadanya.

"Tadi okay je?"

"Tak tahulah. Ana tiba-tiba je berdebar ni."

"Ish... dahlah tu jangan difikirkan sangat. Kita pun dah sampai ni. Jomlah." Ajak Hisyam. Pelik sungguh sahabatnya yang seorang ni. Mereka pantas keluar dari kereta dan menuju ke Restoran Ibunda. Mereka mengambil tempat di ruangan tengah restoran.

Debaran Asyraf Hadi semakin kuat. Dia sendiri tak tahu sebabnya. Tak pernah dia alami perkara ini.

"Boleh saya ambil order?" Tiba-tiba seorang pelayan datang ke meja mereka. Seorang wanita bernama Ainul Mardhiah.

Astaghfirullah! Kenapa debaran hamba semakin kuat Ya Allah?

Bersambung...

Friday, January 13, 2012

Ainul Mardhiah - Bab 2 - Bahagian 1 - Teman seperjuangan dari Mesir


BAB 2 : PERTEMUAN KASIH 

Bahagian 1:Teman Seperjuangan Dari Mesir


"Assalamualaikum!" sergah Asyraf Hadi.

"Astaghfirullah! Hey Hadi, terkejut ana!" Kata Hisyan separuh terkejut. Tangannya pantas mengurut dada. Astaghfirullah, jauh aku mengelamun rupanya. Bisik hati Hisyam. Dia yang tadinya berbaring di atas sofa pantas duduk. Asyraf Hadi melabuhkan punggungnya di sisi Hisyam.

"Tak jawab dosa, kalau jawab sayang... Hahaha..." Kata Asyraf Hadi. Tangannya pantas mengambil remote control TV di atas meja kopi lalu ditekan suis on.

"Waalaikumussalam. Amboi, sejak bila jadi pengikut setia Maria Elena ni?" Jawab spontan Hisyam segera mengalih tumpuan Asyraf Hadi supaya tidak mempersoalkan lamunannya tadi.

"Haha... Apa ke situ pulak? Dia dah nak kahwin dah. Tak nampak ke ana tengah frust menonggeng ni? Cuma tak tertonggeng je lagi ni." Seloroh Asyraf Hadi, sambil otaknya ligat mengingat kembali video yang baru ditontonya mengenai pertunangan Youtuber terkenal tersebut.

Mereka berdua menatap television itu dengan pandangan kosong. Yang tersiar hanyalah sinetron Indonesia yang panjangnya berjela-jela tetapi perjalanan cerita yang lambat. Kalau terlepas empat, lima episodpun tidak akan membawa kepada rasa ketinggalan apatah lagi rasa menyesal. Malah untung sebab mengurangkan sedikit bebanan otak penonton. Ingin diubah siaran tetapi rancangan apa pun tak terasa best kerana mata terasa berat lebih-lebih lagi diawal petang seperti sekarang. Tapi perut mereka terasa sedikit lapar.

"Hisyam, tadi ana tengok anta termenung je? Siap tersengeh-sengeh lagi. Hai, kalau ye pun baru balik ke tanah air, takkan dah terjumpa bidadari pujaan kalbu kut? Cepat betul?" Tanya Asyraf Hadi memecah kesunyian. Aduh, dia tanya juga, bisik hati Hisyam. Sangkanya sahabatnya itu akan melupakan hal tersebut.

"Kalaupun betul ana dah terjumpa bidadari pujaan kalbu, anta rasa ana ni dah bersedia ke nak jadi seorang ketua keluarga yang cemerlang dan berdedikasi?" Jawab spontan Hisyam. Soalan itu sengaja ditanya untuk meminta pendapat teman seperjuangannya di Mesir tersebut.

"Hahaha... rasanya anta ni memang dah terjumpa bidadari kan?" Duga Asyraf Hadi. Hisyam hanya tersenyum tersimpul malu, seolah mengiakan soalan itu.

"Hmm.. pendapat ana, anta ni memang dah bersedia sangat nak jadi suami orang. Jangan kata suami, bapak orang pun dah layak sangat dah! Hahaha..." Asyraf Hadi ketawa sederhana sambil tangannya menunjukkan simbol thubs up.

"Janganlah main-main. Ana serius ni." Berkerut wajah Hisyam. Orang tengah serius main-main pulak dia, bisik hatinya.

"Betullah akhi. Anta dah ada rumah besar, duit pun banyak. Tinggal petik je bunga di taman. Tunggu apa lagi? Cepat-cepatlah petik sebelum di cantas dek orang lain." Asyraf Hadi membuat muka seriusnya. Tapi dia tersenyum juga.

"Akhi, segala duit, rumah dan harta banyak-banyak ni bukan ana punya.  Ni semua papa dan mama ana yang punya. Kerana ana ni anak tunggal, harta ni melimpah ke ana." Jelas Hisyam.

"Beruntung sungguh anta. Semoga anta memanfaatkan harta yang melimpah ruah ini ke arah kebaikan." Terkenang Asyraf Hadi kepada ibu di kampung halaman di Sabak Bernam. Ayah sudah lama meninggal sejak dia darjah 6. Sejak itu, ibunya membesarkan dia dan adik-adiknya dengan menjual nasi lemak dan kuih muih dengan begitu susah payah. Namun begitu ibunya melarang keras apabila Asyraf Hadi berniat untuk berhenti sekolah untuk membantu ibunya. Masih teringat kata-kata ibunya "Nak, biarlah kita miskin harta, tapi janganlah kita miskin ilmu. Belajar sahajalah jalan untuk kita keluar dari kemiskinan ini. Kemiskinan bukan untuk diwarisi nak. Harta boleh di cari bila-bila masa, tetapi peluang untuk belajar di sekolah datang hanya sekali seumur hidup. Sekali kita meninggalkannya, tidak mungkin kita akan peroleh peluang itu lagi."

"InsyaAllah... Tapi ana takut nak melamar dia. Rasanya masih trauma dengan kisah ana dulu. Anta pun tahukan, kisah ana melamar Maryam dulu. Ana rasa malu sangat dengan Maryam dan keluarganya. Ana rasa lebih malu dengan Rasyid dan keluarganya." Jelas Hisyam sekaligus telah mengusir kenangan Asyraf Hadi pergi. Air mata yang bertakung terus disapu dengan lengan bajunya. Mujur Hisyam tak perasan.

"Sudahlah Hisyam. Masa itu pun anta tak tahu Maryam telah menerima pinangan Rasyid. InsyaAllah mereka faham keadaan anta. Janganlah anta kenang lagi kisah itu. Kita doakan sajalah supaya mereka bahagia hingga ke akhir hayat. Dahlah tu. Jom kita bersiap." Jelas Asyraf Hadi. Suaranya sedikit garau kerana terlalu sebak memikirkan masa lalunya. Tangannya mencapai remote control dan menekan suis off. Lantas dia berdehem sambil bangun dari sofa dan berpaling dari Hisyam untuk mengesat lebihan takungan air matanya.

"Ke mana?" Hisyam menjadi pelik.

"Makan. Ana dah kebulur ni." Kata Asyraf Hadi sambil melangkah untuk naik ke bilik mereka di tingkat atas.

"Mak Biah tak masak ke?" Hisyam menjadi pelik dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"La... Lupa ke? Mak Biah kan pergi klinik dengan Pak Borhan. Pening-pening katanya." Langkah Asyraf Hadi terhenti dan berpaling kepada Hisyam semula.

"Biar betul!" Kata Hisyam separuh terjerit.

"Betullah. Kenapa?" Asyraf Hadi pula yang pelik dengan Hisyam.

"Takkan Mak Biah mengandung pula?" Sangka Hisyam sambil mengenangkan Mak Biah yang sudah lanjut usia itu. Suaminya, Pak Borhan merangkap pemandu keluarganya juga sudah lanjut usia.

"Hahaha... Dah tak ada benda lain nak fikir dah?" Terus Asyraf Hadi berpaling dan meneruskan perjalanannya ke bilik. Hisyam, Hisyam... Anta sememangnya sudah layak berkahwin. Entah-entah dah jatuh hukum wajib berkahwin kut? Bisik hatinya.